Saat bersama adalah yang paling TERINDAH....

Saat paling bahagia adalah ketika kita melihat orang yang kita sayangi itu tersenyum dan lebih membahagiakan apabila kita
adalah insan di sebalik senyumannya.

*****Saling menyintailah Hanya kerana Allah
*****Saling menyayangilah Hanya kerana Allah
*****Saling membahagiakanlah Hanya kerana Allah

*******KERANA Hanya Allah-lah yang dapat menumbuhkan
rasa cinta, kasih sayang dan kebahagiaan tersebut.

Wednesday, November 13, 2013

Fantasi Realiti Cinta - FR2

       Cuaca sejuk pagi itu belum cukup lagi mahu menyejukkan hati seseorang. Kelihatan sesusuk tubuh mundar-mandir di hadapan pintu bilik. Bibir dikejap. Memang nak kena ni. Jenuh ditalu tangan ke pintu bertalu-talu. Namun orang yang ditunggu masih belum menunjukkan muka. Mau hati tak hangat. Rasa macam nak pecahkan saja pintu ni. Grrr....grr.....
          Tersungging senyum di pinggir bibir Rizal demi melihat telatah isterinya yang tengah buat kawad cam di depan bilik anak lelaki mereka itu. Tahu sangat perangai isterinya itu. Selagi si anak tak munculkan diri dan bersiap ke pejabat jangan haraplah Puan Reen nak bersurai. Bersemangat lagi ada. Tengok sekarang sepatutnya dia meneman aku bersarapan, tapi pasal anak yang liat nak bangun dan penyegan nak masuk kerja terus diri aku diabaikan. Sudahlah ini hari pertama si anak kena lapor diri. Tergeleng kecil lelaki separuh abad itu. Salah dia juga semalam mendesak isterinya itu untuk pastikan anaknya masuk kerja hari ini. Sudah empat bulan berlalu tanpa si anak menunjukkan minat bagi mengepalai syarikat. Dialah satu-satunya tunggak harapan aku untuk meneruskan empayar ini. Sudah tiba masanya untuk aku menghabiskan masa dengan isteri tersayang yang dulunya berkorban masa, jiwa dan raga menjaga keluarga dan memberi sokongan penuh pada aku. Rizal mula mengatur langkah ke dapur.
          " Shad, bangun ! Bangun pergi kerja !" Bentak Puan Reen. Sakit hati si anak tidak menyahut lagi. Ini tidur mati ke apa. Budak ni lah. Jenuh berpesan semalam suruh bangun awal pagi ini. Jam dah dekat 7.30 pagi. Ni mesti subuh tadi sambung tidur balik. Hai la anak, bangun sayang oi.
          Shad membolak-balik badannya. Macam terdengar-dengar saja suara ibu memanggil. Apsal ibu boleh masuk dalam mimpi aku ni. Tak sesuai betul ibu join. Aku tengah mimpi racing kereta ni. Baru aje nak menang udah suara ibu melanggar gegendang aku. Hilang penumpuan terus...Arghhh....Serentak itu kedengaran bunyi kuat. Eksiden ke aku ni. 
             " Bangun budak bertuah oi. Penat betul ibu panggil nak kejutkan dia," Jerkah Puan Reen yang terpancul di depan pintu. Tak sedar langsung dia menendang pintu bilik anaknya tadi gara-gara terlebih geram. Katil anak bujang itu dirapati. Liar mata Puan Reen mencari cuping telinga anaknya itu.
           " Bangun !!!!!" Jerit Puan Reen sepenuh hati. Ini ajelah cara terakhir nak kejutkan si anak. Cara biasa tak lut, maka cara ni lah sebaik-baik cara yang dipraktikkan dari dulu hingga sekarang
          Shad terus duduk. Terasa telinga bagai nak pecah dengan jeritan lantang ibunya tadi. Biar betul ibu ni. Sampai macam tu sekali nak kejutkan aku. Shad menenyeh-nenyeh matanya yang masih liat mahu terbuka. Terasa macam baru saja dia meletakkan kepala. Potong stim lah ibu ni. Bagilah Shad berehat sepuas-puasnya. Tak habis lagi penat belajar dah nak suruh masuk kerja. Bukannya nak lari mana pun syarikat abah tu. Shad mengeliat malas.
          Puan Reen menjegilkan biji mata. Terasa mendidih takat didih dalam dadanya. Selimut anaknya itu direntap. 
              " Bangun...bangun....mandi...mandi....siap !!!!" Sekali lagi terkeluar arahan keras dari Puan Reen. Shad bingkas bangun. Tuala dicapai dan terus berlari masuk ke bilik air.
          " Jangan nak tidur dalam bilik air pula. Mandi cepat. Abah dan ibu tunggu di bawah," Pesan Puan Reen dari balik pintu. Puas hati dia mendengar bunyi ceburan air dari dalam bilik air. Barulah lega hati aku. Bukannya boleh percaya sangat si Shad tu. Kalau aku tak buat gini, mesti dia sambung tidur dalam bilik air. Puan Reen mengambil pakaian Shad untuk ke pejabat. Siap diletakkan atas katil untuk memastikan si anak nampak. Sebentar kemudian Puan Reen menyertai suaminya bersarapan di bawah.
              Shad mengeletar keluar dari bilik air. Tersenyum melihat pakaian yang terhampar di atas katil. Amboi ibu. Memang bersungguh betul nak aku masuk kerja hari ini., Siap sediakan pakaian aku. Baik ibu, Shad menurut perintah. Shad akan menjadikan hari pertama Shad kerja ini adalah hari bersejarah dan bagi kenangan indah buat ibu. Shad segera berpakaian dan menyiapkan diri. Terasa mamat skema pula dalam pakaian kerja ni. Hehehe...Shad merenung dirinya di hadapan cermin besar. Gaya yang sungguh berbeda. Macam tak percaya imej di cermin itu adalah imej dirinya. Nampak berkarisma. Hahaha...puji diri sendiri pula. Ish..melayan jiwa perasan ni memang tak habis punya. Shad melangkah menuruni tangga.
           Rizal tersenyum menyambut kehadiran anak bongsunya itu. Melebar senyuman Reen melihat anaknya yang telah segak berpakaian kerja. Mm..macam ni lah anak ibu. Smart bergaya bukti keunggulan. Ewah macam iklan pula. Laju tangannya menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Perasaan gembira mengebu-gebu dalam hati. Kembang semangkuk hatinya dengan perasaan bangga. 
            " Hari ini hari pertama Shad bekerja. Ibu harap Shad kerja bersungguh-sungguh yer. Tak tahu tanya dengan orang yang lebih berpengalaman. Kutip pengalaman mereka sebagai panduan buat Shad. Biar Shad tahu bagaimana perihnya mahu membina sesebuah empayar perniagaan. Ibu mahu Shad kena teraju syarikat kita tu dengan penuh kewibawaan." Nasihat diberikan kepada sang anak. Reen merenung raut wajah anaknya. Senang hatinya melihat wajah itu mengangguk dan memberi jawapan melalui air muka yang berkeyakinan. Yaa..sememangnya dia sungguh berkeyakinan pada anaknya itu.
           " Hari ni tugas Shad adalah mengikut abah ke mana saja abah pergi. Banyak mesyuarat yang perlu kita hadiri hari ini. Watch and learn," Rizal bersuara. Shad mengangkat wajah. Hilang terus seleranya untuk menjamah nasi goreng ibu. Apakehal hari pertama kerja sudah kena masuk meeting. Ini yang melemaskan aku ni.
         "Biar betul abah. Boring tu." Laju sahaja rungutan itu dilontarkan. Mana ada mesyuarat yang seronok. Muahahaha...tolong.....tolong....
           " Masa inilah Shad belajar macammana nak tangani sesuatu perkara yang selalu timbul dalam perlaksanaan kerja. Setiap perkara tidak boleh dipandang rendah. Jika tidak diambil tindakan takut perlaksanaan kerja akan tergendala," Terang Rizal. Mahu menyedarkan betapa rumit bagaimana mahu menyediakan diri untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang muncul.
         Shad mengangguk kecil. Sedikit sebanyak penerangan abahnya tadi masuk melekat dalam memori. Baik abah. Shad akan belajar bermula hari ini. Suapan demi suapan nasi goreng disuap ke dalam mulut. Cuba membayangkan senario di pejabat nanti. Ish..ish...panjang betul imaginasi aku.
          Kereta Camry hitam menjalar masuk ke perkarangan bangunan pejabat kepunyaan REZ Astana Corp. Debaran mulai melanda dada. Shad merenung bangunan tinggi itu. Kenapa sekarang nak masuk rasa berdebar lain macam pula. Padahal dulu kecik-kecik di situlah tempat aku bermain bila ibu bawa aku ke pejabat abah. Nampak macam berat tanggungjawab yang bakal aku galas nanti. Shad meraup muka. Cuba bertenang.
          " Bertenang Shad. Anak abah ni boleh buat. Abah percaya dengan kebolehan anak abah ni." Rizal memberi semangat. Meniup ketenangan ke dalam hati si anak. Shad mengangguk. Kedua beranak itu melangkah segak ke ruang legar pejabat. Kakitangan yang lalu memberi salam hormat kepada keduanya. Senyuman terukir manis di pinggir bibir Shad. Setiap yang lalu dihadiahkan senyuman. Kan itu satu amal jariah. Memberi senyuman itu ibarat sedekah. Lagipun dengan senyuman dapat menggembirakan hati yang memandang. Shad mengatur langkah penuh tertib di samping abahnya.
        Terkejip-kejip mata-mata yang memandang. Masing-masing seumpama terpukau dengan senyuman ikhlas itu. Betapa senyuman itu terkesan terus ke dalam hati. Masing-masing tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu. Datangnya membawa kebahagiaan yang memuncak dalam sanubari. Masih setia berdiri memandang lif yang membawa lelaki itu bersama pengerusi syarikat ini. Bercelapak gadis-gadis itu menghampiri kaunter pertanyaan. Bertaburan soalan dilontarkan sehinggakan membuatkan Rozi dan Mimi lelah mahu menjawab.
        " Oii, cuba bersabar sikit yer. Macam torpedo saja bertanya. Sesak nafas aku," tempik Rozi geram dengan mulut-mulut yang tidak berhenti bertanya. Udah macam anak burung yang kelaparan.
     Mimi menyeringai. Telefon berbunyi. Kesemuanya automatik terdiam. Mimi laju mengangkat. Mengangguk dia mendengar arahan yang diberi. Setelah tamat perbualan, laju tangannya menekan nombor pemandu pengerusi syarikat. Pesanan terus disampaikan. Tiada satu pun yang tertinggal. Risau jika tertinggal sebarang maklumat. 
       Bulat mata Mimi memandang wajah-wajah yang masih setiap menunggu penjelasan. Ish..mereka ni. Takkan berganjak selagi jawapan yang memuaskan diterima. Dia menarik nafas.
       " Buat pengetahuan kamu semua, lelaki yang bersama pengerusi kita tadi tu adalah CEO baru kita. Dia mulai bertugas hari ini. Dah puas hati kan. Sila kembali ke department masing-masing. Tak payah nak bertenggek kat sini lagi. Kejap lagi pengerusi akan turun. Jangan  bagi dia nampak muka korang lagi kerumun tempat ni. Ada faham !" Mimi bersuara sedikit keras. Tanpa banyak soal terus mereka bersurai. Senyuman terukir di setiap wajah. Rozi menggeleng.
        " Pantang nampak yang hensem. Berterabur jantung meloncat keluar. Ishhhh..." Rungut Rozi. Mimi ketawa kecil. Tahu sangat Rozi yang tidak gemar melayan karenah staff perempuan yang banyak songeh tu. Duduk di kaunter pertanyaan ni memang penuh cabaran dan dugaan setiap hari. Kalau tidak sabar sahih laju hantar surat berhenti kerja. Namun pengalaman mematangkannya. 
    Tuan Rizal berjalan menghampiri kaunter pertanyaan. Shad hanya mengekori dari belakang. Kelihatan bapanya sibuk bertanya dengan staff yang berada di kaunter itu. Sebentar kemudian kelibat Abang Jimi terburu-buru datang. Laju dia mengambil dokumen-dokumen yang terletak di atas kaunter.
        Shad membuang pandang keluar. Sepanjang perjalanan dia hanya membisukan diri. Dokumen di atas pahanya dibiarkan terbuka sahaja. Naik pening kepalanya menelaah tadi. Abah menyuruhnya meneliti dokumen itu terlebih dahulu sebelum masuk mesyuarat nanti. Rizal asyik membaca suratkhabar. Bukan dia tidak menyedari perilaku anaknya tetapi dia mahu melihat anaknya itu belajar menyesuaikan diri dalam dunia perniagaan.
          Mesyuarat berlangsung selama 2 jam. Banyak perkara diperbincangkan. Masing-masing mengutarakan cadangan mereka. Shad sebagai pemerhati mula mengerti selok-belok perniagaan. Entah mengapa tiba-tiba timbul rasa semangat mahu bekerja. Dokumen ditarik ke hadapannya. Jarinya mulai menyelak helaian demi helaian.
         " Maaf semua. Boleh saya berikan satu cadangan. Mengapa perlu kita simpan stok yang tidak perlu terlampau berlebihan. Kos perbelanjaan boleh dikurangkan kalau kita semak balik stok yang tidak perlu. Patutnya kita simpan stok yang perlu bagi kelicinan proses pengeluaran," Luah Shad tanpa dipinta. Semua mata terarah ke wajahnya. Shad hanya mengukir senyum kecil. Semua kembali melihat laporan yang tercatit di dalam dokumen. 
           " Macam mana kita boleh terlepas pandang perkara ini. Wah, Rizal. Anak kau ni boleh tahan juga yer. Sama bijak macam bapanya." Puji Datuk Bahar. Bahu Shad ditepuk-tepuk. Semua mengerumuni Shad. Rizal tersenyum bangga. Tidak sangka dengan pencapaian Shad untuk hari pertamanya kerja. Bravo anakku !!
                   



          

No comments:

Post a Comment